Bukan mudah untuk menjadi seorang kaunselor. Kaunselor haruslah memiliki sifat-sifat seperti hormat dan terima tanpa syarat (respect & unconditional positive regards), kasih sayang (love), empati (kebolehan merasai apa yang dirasai oleh klien) dan genuin (jujur dan ikhlas) membantu klien dalam perhubungan yang teraputik.
Kaunselor sudah tentunya seorang guru kerana dialah model untuk diikuti dan dicontohi oleh klien dengan sifat peribadi mulianya. Kaunselor boleh jadi mungkin seorang mudarris, muallim, muaddib, murabbi dan mursyid.

Kaunselor juga akan bergerak bersama dengan kliennya dalam proses perkembangan yang dilalui yang mana ianya akan memberikan pengalaman kepada klien. Jika kaunselor berkesan, maka akan mendatangkan hasil atau outcome yang baik juga. Wallahua'lam.

NUKILAN HATI

Semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat. Sesungguhnya, apa yang kurang itu adalah berpunca daripada kelemahanku sebagai manusia. Yang hebat itu datangnya dari Allah.

TAWAN HATI DAN SENTUH JIWA PELAJAR

TAWAN HATI DAN SENTUH JIWA PELAJAR

MENCARI SESUATU???

Tuesday, November 9, 2010

INDAHNYA HIDUP DI KAMPUS...


Salam petang buat anak didik di luar sana. Hari ini, cikgu cuma ingin memesan kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan SPM agar mengemukakan permohonan ke IPTA dan ILK. Ketepikan alasan-alasan lain yang tidak penting kerana keputusan untuk ke IPT adalah sangat penting demi masa depan adik-adik sekalian.

Perlu cikgu ingatkan bahawa, belajar di IPT tidaklah sesukar semasa kita belajar di sekolah. Terutamanya kepada adik-adik putera yang sering mengelat untuk melangkah masuk ke IPT dan memilih untuk lepak di rumah, bekerja dan sebagainya. Jika adik sedari bahawa kebanyakan dari kalangan adik-adik putera sememangnya tidak gemar belajar semasa di sekolah, tidak suka duduk dan mendengar pengajaran cikgu yang panjang lebar, itu tandanya, potensi adik-adik ada di tempat lain. Selalunya, adik-adik lebih berminat dan cenderung untuk belajar secara hands-on atau secara praktikal, bukan secara teori.

Cikgu teringat kepada anak-anak saudara cikgu di luar sana yang sedang belajar di IPT tetapi mengambil jurusan yang berbentuk kemahiran, nampaknya mereka jauh lebih cemerlang berbanding pelajar yang lain. PNGK atau pointer mereka pada setiap semester melebihi jangkaan cikgu. Seorang Si A, berjaya memperoleh pointer 3.65 dalam kejuruteraan elektrik. Manakala, seorang Si B seorang gadis memperoleh 3.75 semester lepas. Walhal, semasa di sekolah dulu, keputusan peperiksaan mereka bukanlah bagus sangat. Matematik dan B. Inggeris orang kata tak usah cerita lah. Memang teruk. Gagal sudah tentu. Tetapi, dek kerana minat mereka kepada pembelajaran secara hands-on itulah yang berjaya mengembangkan bakat dan potensi mereka. Sesungguhnya, untuk pengetahuan adik-adik, markah yang diperolehi bukanlah 100% daripada peperiksaan. Adakalanya, markah yang melibatkan kerja-kerja tangan adalah sebanyak 60% bergantung kepada kursus-kursus tersebut. Manakala, 40% lagi mungkin melibatkan peperiksaan, kehadiran, komitmen dan sebagainya. Itulah di antara pengalaman cikgu juga semasa cikgu berada di UPSI suatu ketika dahulu.

Oleh kerana, kaedah pembelajaran yang sedemikianlah, kebanyakan kita dapat memperoleh kecemerlangan tanpa kita sangka. Hasil dari bakat dan kreativiti kita, adakalanya membuatkan kita sendiri yang akan terlopong melihat keputusan yang tidak kita jangka sama sekali.

Oleh itu, peluang melanjutkan pelajaran ke IPT adalah sangat penting dalam hidup kita. Dengan melanjutkan pelajaran akan menjadikan pengalaman kita lebih luas kerana kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia, persekitaran kehidupan kampus dan masyarakat yang berbeza sama sekali dengan persekitaran yang kita alami selama ini. Secara tidak langsung, akan meluaskan daya pemikiran dan pandangan kita terhadap kehidupan orang lain. Tidaklah kita menjadi orang yang ketinggalan zaman mahupun katak di bawah tempurung. Sedar atau tidak, itulah pakej yang kita perolehi jika sanggup melangkahkan kaki dengan nekad ke IPT demi untuk menimba ilmu.

Lihatlah, betapa pendidikan amat penting pada masa kini kerana dengan adanya ilmu Allah akan mengangkat kita ke beberapa darjat. jadi, janganlah diimpikan untuk berehat-rehat dan membuang masa dengan beranggapan bahawa, tugas adik-adik sebagai seorang telah pun selesai. Perjalanan masih jauh dik! Penuhilah dan isikanlah dengan jalan-jalan yang indah bukan jalan yang penuh dengan noda seperti merempit, lepak-lepak, terlibat dengan dadah dan sebagainya. Percayalah adik-adik, belajar di IPT sangat indah jika adik menyelusuri dengan bijaksana. Pasti adik-adik akan sentiasa kenanginya sebagainya mana telah kami lalui. Seronoknya terasa seolah ingin kembali semula ke kampus dan menjalani hidup sebagai seorang siswa.


Pasti! buatlah pilihan yang tepat dengan membuat permohonan masuk ke IPT dan ILK. InsyaAllah, rezeki Allah itu ada. Maka, berusahalah!

Sunday, October 31, 2010

PROSEDUR KEMASUKAN KE IPTA


Perhatian kepada semua pelajar yang disayangi, keputusan Jemaah Menteri pada 2 April 2010 bahawa, mereka bersetuju agar tahun 2011, Bahagian Pengursan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi akan menjadi Pusat Pengambilan Setempat bagi kemasukan ke Program sijil dan Diploma di Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional dan Latihan Kemahiran (ILK).

Maknanya, ini satu berita baik buat semua pelajar di luar sana kerana berlakunya peningkatan dan keselarasan dalam urusan kemasukan ke pengajian tinggi. Secara tidak langsung, ia juga menaiktaraf Institusi Pendidikan itu di samping tidak membebankan pengguna atau pelajar sama sekali. Oleh itu, para pelajar boleh mula membuat permohonan melalui aplikasi secara talian (online) secara sendiri mahupun melalui Guru Bimbingan dan

Kaunseling di sekolah masing-masing. Bayaran bagi pembelian Nombor Unik ID adalah sebanyak RM10.60 bagi 2 permohonan, iaitu ke IPTA dan ke ILK.



BOLEH LINK DI : http://upu.mohe.gov.my/

Wednesday, October 27, 2010

Motivasi : Senyum Penawar Duka


Salamualaikum...



Bicara seuntai kata untuk hari ini, senyum.

Dan tersenyumlah kamu kerana senyuman itu penawar duka, melerai kekusutan, penyejuk hati, dan menjadikan kita sebagai seorang penyabar.

Tatkala tersenyum, otot-otot di sekitar wajah akan bergerak dan akan menjadikan kita awek muda.

Tersenyum juga boleh menjadikan seseorang lebih positif dan tenang. Kuasa senyuman amat kuat untuk menjadikan persekitaran kita ceria dan bahagia.

Tatkala kita tersenyum, orang di sekeliling kita turut merasa bahagia. Mereka turut gembira sebenarnya. Cuba bayangkan jika bermasam muka atau pun muka dipenuhi dengan kerutan! Cuba bandingkan, yang mana satukah yang lebih indah,

yang sedang tersenyum atau yang sedang masam mencuka?

Yang sedang tersenyum atau yang mukanya menjeling masam?

yang sedang tersenyum atau yang menangis kesedihan?

Yang sedang tersenyum ataupun wajah yang tidak berperasaan?

Yang sedang tersenyum atau yang sedang membentak kemarahan? :)

Tersenyum juga tidak perlukan modal wang mahupun harta benda yang berbentuk material tetapi cuma sekadar sebentuk bibir yang mengukir senyuman dengan penuh ikhlas. Itulah sedekah yang membuatkan kita ataupun orang lain rasa tidak terhutang budi.

Paling penting untuk kita tahu bahawa senyum atau senyuman itu merupakan anugerah Tuhan Yang Maha Kaya kepada hamba-Nya. Oleh itu, syukurilah nikmat senyuman yang Dia kurniakan kepada kita dan hargailah saat kita seharian dengan senyuman manis lagi ikhlas! :)



Wallahua'lam.

Tuesday, October 19, 2010

PENAWAR SEGALA MASALAH?


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Kembali kepada Allah adalah jalan penyelesaian segala jua masalah yang kita hadapi. Jarang sekali kita berfikir dan merenung semula masalah yang kita hadapi kepada Allah Taala. Walhal, setiap perjalanan hidup kita Allah lah yang aturkan. Mungkin kerana terlupa....atau mungkin jahil atau tidak tahu. Adakalanya, kita hanya ingat kepada Allah masa kita sedang di saat-saat sukar. Tapi, bagaimana pula di saat senang? Selalukah kita ingat kepada-Nya? Selalukah kita mensyukuri nikmat yang diberi? Ish...ish...renungkanlah bersama.

Ingatlah, walau apa jua masalah yang kita hadapi,situasi mana sekalipun kita berada, maka, ingatlah kepada Allah selalu. Jadikanlah Allah sebagai matlamat kepada setiap pekerjaan kita. Semoga kita akan selalu ingat dan bersyukur kepada-Nya. Walllahua'lam. Sekian.

Monday, October 11, 2010

Ya Allah...Atas NamaMu Aku Merintih.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 286, Allah berfirman bahawasanya ;


Allah tidak akan membebani seseorang dengan sesuatu melainkan sesuai dengan kemampuannya. Ia mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya, dan mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannya. Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kepada kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.
Ingatlah...tatkala kita merasa getir menerima ujian dari-NYA, maka perlu kita ingatkan diri kita bahawa apa yang diuji oleh Allah itu adalah bersamaan dengan kemampuan kita. Jika kita merasa berat dan tidak tertanggung, merintih dan mengadulah kepadaNya. Kerna...Allah amat menyukai hambaNya yang selalu ingat dan berdoa kepadaNya walau dalam keadaan apa sekali pun. Baik senang mahupun susah. Walau terlanjur berbuat dosa, usah merasa gelapnya dunia kerana Allah itu Maha Pengampun. Dialah Ya Ghafur. Dialah Ya Afuw, Yang Maha Pemaaf dan Ya Tauwab, Yang Maha Menerima Taubat.
Wallahua'lam.

Sunday, October 10, 2010

SELAMAT BERJUANG ADIK-ADIKKU...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Salamualaikum semua terutama sekali yang sedang bertungkus lumus menghadapi peperiksaan PMR. Selamat Berjuang dengan penuh ketekunan dan kesabaran. Mudaha-mudahan adik-adik semua berjaya menepuh dugaan peperiksaan yang sedang berlangsung sekrang ini. Selepas ini, bolehlah adik-adik semua merehatkan minda dengan aktiviti yang berfaedah. Perlu adik-adik ingat bahawa, berakhirnya peperiksaan PMR bukanlah beerti berakhir segala-galanya bagi adik-adik.
Tugas kita sebagai khalifah di muka bumi ini tidak pernah habis. Oleh itu, kewajipan kita sebagai seorang hamba perlu ditunaikan. Solat 5 waktu perlu dijaga walaupun adik-adik pergi bermain. Hormat pada ibu bapa tetap selalu, begitu juga guru. Hadir ke sekolah dan ikuti program-program yang disediakan untuk adik-adik yer... Manfaatkan masa yang ada kerana dalam hidup seorang hamba Allah, tidak ada istilah berhenti, habis, rehat kerana semua itu hanya untuk dipenghujung kehidupan seorang manusia di negeri akhirat nanti. Oleh itu, berusahalah selalu dalam setiap perkara yang kita lalukan dengan sebaik-baiknya kerana amal kita walau seberat zarah akan tetap dikira.
Wallahua'lam.

Monday, September 20, 2010

SELAMAT HARI RAYA


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Salamualaikum...

Selamat Hari Raya buat semua sahabat handai mahupun pelawat di luar sana. Mudah-mudahan puasa kita yang lalu mendapat keberkatan dan berharap agar tahun depan kita dapat bersama lagi di bulan Ramadhan yang berikut. Hari Raya adalah hari kemenangan buat semua umat Islam yang berjaya mentarbiah diri semasa berpuasa. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya.

Dihari RAYA ini, janganlah kita membuat dosa. Maafkanlah segala kesilapan semua orang yang pernah buat salah. Mudah-mudahan, mereka juga memaafkan kesalahan kita. Wallahu a'lam.

Wednesday, August 11, 2010

SANTAI-SANTAI DI LATA JARUM, RAUB




SALAMUALAIKUM...


Salam pertemuan buat buat sekian lama tidak bertemu kepada semua pelawat. Harapnya dapat dimaafi. Kesibukan menjalankan tugas telah menghalang saya untuk menulis blog. Hanya sekali dan sekala sahaja barulah dapat bertemu semula.


Gambar ini merupakan gambar terbaru saya semasa mengadakan Program Eksplorasi Kecemerlangan PMR & SPM 2010 di SM Sains Tengku Abdullah Raub. Oleh itu, kesempatan ini, saya ambil untuk ke Lata Jarum untuk menikmati keindahan alam semesta. Memang sangat bersih tempatnya. Hanya lebih kurang 30 km sahaja daripada bandar Raub. Tetapi, jalan agak sempit dan perlu berhati-hati. Oleh itu, jemputlah bermandi manda di Lata Jarum. Jika tidak salah saya, terdapat 4 tempat menarik di Raub yang boleh dikunjungi semasa anda berada di sana. Antara yang saya ingati adalah Lata Jarum, Lata Berembun dan Jeram Besu.

Thursday, May 20, 2010

Selamat Hari Ibu


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Dedikasi buat bonda tercinta. Selamat Hari Ibu, semoga Allah selalu merahmatimu. Dan juga buat semua para wanita yang bergelar ibu.

Wednesday, May 19, 2010

Selamat Hari Guru


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Selamat Hari Guru,
Terima kasih kepada semua guru yang pernah mendidiku selama ini. Allah telah memberikan kalian ilmu pengetahuan agar ilmu kalian itu ditumpahkan pula kepada orang lain. Saban waktu berganti waktu, saban abad berganti abad, saban kurun berganti kurun, begitulah seterusnya. Dengan ilmu, maka terbentuklah berbagai-bagai bangsa di dunia. Walau hanya setitis ilmu yang dimiliki, tapi kesannya teramat besar kepada penghidupan manusia sejagat. Hebatnya...anugerah ilmu yang hanya pemiliknya adalah Allah!

Guru...itulah kalimah keramat buat semua pendidik yang sentiasa berusaha dengan sabarnya mendidik anak-anak bangsa mereka. Tiada hadiah yang diharapkan di hari yang bahagia ini melainkan anak-anak bangsa menjadi insan yang berjaya di kemudian hari.

Oleh itu, hormatilah para guru yang telah berusaha membangunkan modal insan, memanusiakan manusia, membina negara bangsa melalui pembentukan akhlak generasi masa kini. Dengan demikian, maka hargai dan jangan dilukai hati dan perasaan mereka.

Wallahua'lam.

Terima Kasih, Cikgu!

Monday, April 12, 2010

Akhlak Remaja Bermula Dari Rumah


Bismillah…Salam ukhwah buat semua pembaca dan pelawat di luar sana.
Bertemu lagi kita di artikel kali ini. Maaf kerana membuatkan sesetengah daripada anda ternanti-nanti sambungan artikel yang telah saya tulis dahulu mengenai punca kebiadaban dan sikap kurang ajar pelajar sekolah pada hari ini. Terlalu banyak ingin saya luahkan di sini. Justify FullMungkin kerana pengalaman yang telah dilalui. Bukan sahaja sebagai seorang pelajar, bahkan sebagai seorang guru. Mungkin, pengalaman saya sebagai seorang guru itu tidak banyak untuk saya kongsikan, tetapi pengalaman saya sebagai seorang pelajar yang membesar di era tahun 90-an itu banyak sekali yang boleh saya kongsikan. Sesungguhnya, pengalaman yang dilalui tidak dapat dibeli mahupun diganti dengan apa jua material. Pengalaman jugalah yang mematangkan fikiran seseorang.
Berbalik semula kepada perbincangan kita. Apa yang saya kongsikan ini adalah secara umumnya sahaja. Sikap para pelajar pada masa kini memang jauh berbeza berbanding dengan pelajar pada masa zaman remaja saya suatu ketika dahulu. Apatah lagi, sewaktu zaman orang tua kita dahulu. Jika dahulu, sikap para pelajar cukup dijaga. Ini bermula daripada didikan kedua orang tua pada ketika itu yang amat menitikberatkan adab sopan dan budi bahasa. Hendak bercakap pun perlu berlapik dan penuh dengan sopan santun. Apatah lagi dalam menunjukkan tingkah laku kepada orang lain. Betapa suatu masa dahulu, rakyat kita, masyarakat yang amat lemah lembut tetapi tegas. Berbeza dengan masa kini, para pelajar atau lebih kita kenali kini sebagai seorang remaja, sikapnya sering kali kurang ajar, tidak menghormati orang lain, bertingkah laku kasar baik lelaki mahupun perempuan. Ternyata, setelah zaman beredar dengan arus kemodenan ini, nilai-nilai murni dan adab sopan semakin dilupakan.
Nilai murni sebahagian dari nilai-nilai agama
Walhal, nilai-nilai murni itu ternyata sekali tidak dapat dipisahkan dengan mana-mana agama sekalipun walau agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Jelas sekali, semua agama menyarankan agar kita mengamalkan nilai-nilai murni pada setiap masa dan sudah tentu pula melarang nilai-nilai yang tidak baik dan merosakkan. Ini jelas menunjukkan bahawa sesebuah agama, terutama sekali agama Islam sangat menganjurkan umatnya agar berkelakuan atau berakhlak baik dalam apa jua perkara yang dilakukan dalam kehidupan. Dalam konteks kehidupan seorang pelajar, tentu sekali, soal akhlak amat dititikberatkan terutama sekali semasa berhadapan dengan ibu bapa dan juga guru. Tingkah laku dan akhlak yang ditonjolkan dengan orang paling pelu dihormati seperti ibu bapa dan guru akan menentukan sikap dan akhlak pelajar terbabit dalam menjalani kehidupan masing-masing dengan orang lain pula seperti orang yang lebih tua, orang yang tidak dikenali, orang yang tidak berdaya, rakan-rakan, saudara mara, bangsa dan agama lain. Dapat dikaitkan di sini bahawa, jika pengamalan nilai-nilai agama dalam kehiupan seharian adalah baik, maka akhlah dan tingkah laku yang ditonjolkan juga akan ikut baik. Dengan kata lain, tingkah laku luaran itu adalah hasil daripada dalaman seseorang pelajar itu. Dalaman atau jiwa yang baik itu datangnya daripada keluarga yang baik dan bahagia yang mana penghuninya sudah tentu mengamalkan gaya hidup yang langsung tidak terpisah daripada agamanya sama sekali.
Sebagai contoh, akhlak terpuji pelajar bernama Ali lahir dari keluarganya yang sakinah. Ibunya Fatimah seorang suri rumah, manakala ayahnya Yusuf. Keduanya merupakan insan yang sering mendekatkan diri kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan yang dilalui. Oleh itu, lahirkan Si Ali berserta adik-adiknya si Aminah, Si Khadijah, Si Muhamad dan Si Adam yang juga tidak lalai dan tidak leka dalam mendekatkan diri dengan Allah S.W.T. Oleh kerana ibu mereka Si Fatimah dan Si Yusuf, ayah mereka juga berakhlak mulia dan mempunyai budi pekerti yang tinggi, anak-anak mereka juga di asuh dengan akhlak yang terpuji yang mana akhlaknya adalah akhlak Al-Quran. Begitu juga sebaliknya. Jika Si Halimah dan Si Roslan selaku ibu bapa, sering kali alpa dan lalai dari mengingati Allah, maka lahirlah dari mereka Si Abu dan Si Masitah yang tidak mendekatkan dirinya pada Allah. Bahkan, zuriat yang mereka lahirkan dan dididik dengan didikan mereka itu akan lebih teruk lagi akhlak mereka pada kebiasaannya. Hal ini demikian kerana, apa sahaja perlakuan, tingkah laku dan akhlak yang ditonjolkan oleh sang ibu dan sang bapa akan dicontohi oleh sang anak kecil yang hidup bersama dalam suatu persekitaran rumah mereka. Sikap, budaya, cara dan gaya hidup akan dipelajari dan disemat erat-erat dalam kotak fikiran anak-anak mereka sehingga mereka besar dan hidup pula dipersekitaran yang lain seperti bersama rakan-rakan dan menyesuaikan diri pula dengan persekitaran sekolah.
Kesalahan yang dilihat Sebagai Bukan kesalahan
Oleh itu, dapatlah kita lihat pada hari ini, ragam pelajar yang bermacam-macam karenah mereka dengan seribu satu masalahnya. Para pelajar yang kurang mendapat didikan agama seperti yang dicontohkan sebentar tadi, sudah tentu dapat diagak tingkah laku mereka di sekolah. Kenakalan, kededilan mereka dan ditambah pula dengan sikap kurang ajar mereka itu telah cukup untuk memeningkan kepala para pendidik di sekolah. Hendak ditegur salah, tidak ditegur pun salah. Apatah lagi bila para pelajar ini didenda. Semua yang dilakukan oleh guru menjadi suatu kesalahan di mata pelajar dan juga ibu bapa pelajar terbabit. Mana kan tidaknya, jika sudah diasuh dan disemat di fikiran mereka, perbuatan yang mereka lakukan itu adalah tidak salah, sudah tentulah, mereka tidak merasakan perbuatan mereka itu sebagai suatu kesalahan. Bahkan lebih teruk lagi jika, mereka mula mengalami kekeliruan antara didikan ibu bapa dengan didikan guru di sekolah. Jika didikan guru di sekolah dikatakan salah, bagaimana pula? Sebagai contoh, Ayah Si Abu tidak menunaikan solat 5 waktu, malah tidak juga mengajar dan menyuruh anaknya Si Abu bersolat. Apabila di sekolah, Si Abu mula menjadi keliru apabila disuruh bersolat kerana wajib melaksanakannya. Si Abu dirotan atau didenda kerana tidak menunaikan solat dan mula memberontak kerana merasakan tidak patut dirotan dan didenda. Secara tidak langsung, lahirlah seorang pelajar yang bersikap kurang ajar terhadap gurunya. Lebih malang lagi, situasi yang berlaku ketika ini, anak yang didenda atau dihukum gemar mengadu kepada ibu bapa. Ekoran itu, ibu bapa datang ke sekolah dengan penuh emosi dan memarahi pihak sekolah mahupun guru-guru. Jadi, jika sudah begitu, apakah yang patut dilakukan? Perlukan membiarkan si anak yang bergelar pelajar di sekolah terus hanyut dengan hidupnya. Atau para guru perlu terus melawan arus yang datang dengan seribu macam ragama lagi? Atau para guru dan pihak sekolah akan terus dihimpit dengan dilema yang berterusan tanpa penghujung? Sekian...InsyaAllah bersambung lagi...


Thursday, April 8, 2010

PUNCA KEBIADABAN & SIKAP KURANG AJAR PELAJAR

Guru umpama dian yang membakar diri demi menyinari orang lain. Menabur bakti dan mencurahkan ilmu pengetahuan yang dikurniakan Allah kepadanya buat anak bangsa yang tercinta. Sudah adat jika seorang guru memarahi anak murid atau pelajarnya demi untuk membetuli sikap mereka, mendidik dan mengajar mereka agar mereka lahir sebagai insan yang berkualiti dan cemerlang dunia dan akhirat.

Tetapi, sayangnya, para pelajar atau anak murid pada masa kini bukan lagi seorang pelajar yang taat dan tekun dalam menuntut ilmu seperti suatu ketika dahulu. Jika satu masa dahulu, martabat seorang guru diangkat dan dijulang sebagai seorang yang amat disegani sehingga akhir hayat mereka. Bahkan, gelaran guru, cikgu, ustaz dan ustazah senang sahaja terlekat di bibir orang lain kerana bakti seorang guru yang dicurahkan dihargai dengan sepenuhnya dalam bentuk sokongan padu masyarakat pada ketika itu. Bukan wang ringgit yang diganjarkan kepada mereka pada ketika itu. Bahkan, pada masa kini juga, guru juga masih lagi begitu. Lantaran, kesungguhan seorang guru yang mengajar tulis, baca dan kira kepada anak-anak pelajar, mereka tetap diingati sehingga mereka telah kembali kepada Sang Pencipta. Nama mereka tidak dapat dipisahkan daripada perkataan keramat itu...Cikgu Siti, Cikgu Abu, Arwah Cikgu Mat dan sebagainya. Hebatnya darjat seorang guru sehingga namanya sentiasa meniti di bibir penyebutnya sebagai seorang bekas guru.

Para guru juga satu masa dahulu juga dihormati dalam mendidik para pelajar melalui bentuk hukuman yang dijalankan olah para guru terhadap anak-anak mereka. Jika seorang pelajar dihukum kerana melakukan kesalahan, kemudian mengadu pula kepada ibu bapa kerana dirotan atau dicubit, sudah tentulah akan mengundang kemarahan kepada ibu bapa terbabit. Yang menghairankan, kemarahan itu ditujukan kepada anak-anak mereka yang telah dihukum rotan dan sebagainya. Dengan alasan, anak mereka yang salah...atau "kamulah yang salah kerana tidak mendengar kata cikgu..." atau... "Kamu yang buat silap, degil, tidak siap kerja sekolah..."
Oleh sebab itu, mereka dipukul atau dirotan dengan lebih kuat. Maka, sikap tersebut telah berjaya membentuk generasi masa kini yang hebat, gah, bermotivasi dan berkepimpinan. Semua itu, kerana didikan yang sangat berkesan hasil daripada kerjasama masyarakat kepada para guru dengan memberikan penghormatan secara tidak langsung. Melalui? Kaedah yang telah disebutkan sebentar tadi....yakni dengan cara memberikan peluang menjalankan tugas mereka sebagai seorang guru dan ibu bapa juga menjalankan tugas mereka dengan tegas dan adil.
Tetapi sebaliknya berlaku pada masa kini....para guru tidak lagi dihormati sebagai seorang guru yang mulia kerana mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak bangsa. Bahkan, sering kali guru yang dipersalahkan apabila terjadinya sesuatu perkara kepada para pelajar di sekolah. Memanglah tidak semua situasi berlaku begitu, tetapi situasi yang berlaku pada masa ini kebanyakannya seolah-olah mempersalahkan guru....baik para pelajar mahupun ibu bapa. Sedihnya, guru tidak lagi di letakkan di tempat yang sepatutnya. Mungkinkah tiada lagi ruang untuk para guru di hati masyarakat kini. Memang zaman sudah berlalu, masa pun beredar... Akan tetapi, tugas seorang guru masih sama, yakni menjadi pendidik kepada generasi. Tugas seorang guru bukan terhenti sebagai seorang pengajar sahaja...tetapi sebagai pendidik yang mendidik akhlak dan pembentuk jiwa. Sudah tentu seorang guru bukan sahaja guru yang tahu mengajar Matematik, Sejarah dan sebagainya. Lebih-lebih lagi di zaman yang mana ibu bapa tiada lagi berkesempatan untuk mendidik anak masing-masing. Hal ini, sudah tentu terjadi kerana pada hari ini kebanyakan ibu bapa bekerja.

Walau apa pun, kita berjumpa lagi di penulisan yang seterusnya....kerana kekangan masa yang amat terhad....InsyaAllah, saya akan sambung lagi perbincangan kita di lain masa.

Thursday, March 25, 2010

KURSUS DALAMAN PENGAWAS SEKOLAH




Latihan Ucapan Pengerusi Majlis sedang dilatih oleh Cik Shida, Cik Syida, Cik Al dan En. Rizduan.


Latihan Bacaan ikrar sedang dilatih oleh Cik Haryati dan Cik Suzilawati.


Cik Haryati dan Cik Suzi sedang memadukan suara pelajar ketika membacakan ikrar dan ucapan.

Wednesday, March 24, 2010

KESENGSARAAN & KEINSAFAN... : Tiada Air


BISMILLAH..
Syukur Alhamdulillah kerana Mu Ya Allah masih memberikan peluang dan ruang untuk kami menghembuskan nafas dan menghirup udara milikmu. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi ujian yang berat ini....Bantulah kami warga SMK JP SHAS untuk menghadapi dugaan mu yang amat payah dan getir ini...permudahlanlah urusan kami di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan, ujian Mu ini akan memberikan keinsafan dan kekuatan kepada kami untuk kami mendekatkan diri kepada Mu Ya Alah. Amiin..

Amiin Ya Rabbal Alamin...

Sudah berapa kali pada tahun ini SMK JP SHAS mengalami masalah air yang amat kronik. Bukan sahaja para pelajar yang tinggal di asrama merasai kegetiran tersebut, bahkan guru-guru dan seluruh warga sekolah amat merasainya. Di sekolah, kantin sekolah, dewan makan asrama, surau-surau dan rumah guru, semuanya tiada titisan air yang mengalir. Para pelajar yang tinggal di asrama terpaksa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, sesi Pengejaran dan pembelajaran juga terganggu. Guru-guru juga terpaksa menumpang di rumah-rumah kenalan dan penduduk sekitar Kuala Tahan. Semua warga yang terlibat, terasa bahangnya. Allah...

Namun, para guru dan warga sekolah yang lain amat cekal menghadapi ujian ini. Aspek kerjasama dan gotong-royong dapat dilihat antara guru-guru yang tinggal di sini. Para guru lelakinya dan juga staf sokongan sedang berkerjasama dan bertungkus lumus untuk memperbaiki keadaan ini. Mereka sanggup naik ke tangki air dan sering meninjau permasalahan yang dihadapi hampir setiap hari. Mengalahkan orang-orang JBA pula. Oleh sebab itu, mereka digelar orang JBA di sekolah ini. Hu...hu...gelaran untuk para guru yang serba boleh. Walau apapun cabaran, inilah guru...pengorbanannya untuk menyinari anak bangsa tiada berbelah bahagi. Bila pelajar susah, guru juga akan susah. Bila pelajar sengsara, guru turut merasai kesengsaraan ini. Para guru pula, walaupun jauh beribu batu bertandang ke mari, sanggup pula bersusah payah menghadapi dugaan di sini. Mungkin, terdapat banyak hikmah yang tersembunyi. Ujian ini, secara tidak langsung dapat mengingatkan kita bahawa di luar sana, ramai lagi insan-insan lain yang menderita dengan pelbagai ujian dan meghnah dari NYA. Ada yang tidak memperoleh sumber air, sumber makanan dan tempat tinggal. Kami ini, baru sahaja diuji dengan ketiadaan air. Bahkan semasa tidak timbul masalah ini, kami mungkin jauh lebih beruntung dari mereka yang menderita di luar sana walaupun kami hanya mempeoleh sumber dari air sungai sahaja. Oleh itu, saya ingin mengajak diri saya sendiri dan semua yang di luar sana agar senantiasa bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh-NYA.
Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Memberi segala nikmat.

Oleh itu Ya Allah, kami semuanya ingin memohon kepadaMu agar kami tidak dibebankan dengan apa yang tidak sanggup kami pikul seperti orang-orang yang telah Engkau uji seperti orang-orang sebelum kami. Amiin.


Monday, March 22, 2010

HARI PENDAFTARAN SEKOLAH 2010


Sesi Pendaftaran Pelajar Asrama SMK Jubli Perak SHAS pada tahun ini, tahun 2010.

Guru-guru yang tetap memberikan senyuman ceria walaupun terpaksa bertungkus lumus apabila ketibaan tahun baru bagi sesi persekolahan.

Friday, March 19, 2010

PROGRAM KAUNSELING BERFOKUS


SALAMUALAIKUM....

Tiga bulan telah pun berlalu pada tahun ini, tahun 2010. Tahun yang penuh dengan cabaran buat saya sendiri. Azam saya pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pelaksanaan sesi kaunseling, berbanding perlaksanaan program. Mudah-mudahan, dengan banyaknya sesi kaunseling akan membantu saya lebih memahami para pelajar saya, dekat dengan mereka, mengenal pasti masalah mereka dan dapat mentarbiah mereka bersama-sama dengan saya. Semoga Allah membantu saya dalam menjalankan tugas dan menyebarkan dakwah untuk anak bangsa yang saya kasihi. Amiin...


Oleh sebab itu, pada tahun ini, saya mengkhususkan tugas saya kepada pelaksanaan Program Kaunseling Berfokus yang melibatkan beberapa program penting dan juga sesi kaunseling. Jika dilihat kepada laporan pada tahun ini, saya agak kurang menjalankan program-program yang besar. Hal ini demikian kerana, program yang saya jalankan adalah melibatkan kerjasama dengan unit-unit yang lain dan melaksanakan program dalam kelompok yang lebih kecil seperti sejumlah pelajar atau sekelas sahaja. Oleh itu, masa yang diambil tidaklah menggugat Pengajaran dan Pembelajaran yang sedang berlangsung di dalam kelas. Ketiadaan guru tertentu memberikan saya peluang untuk mengadakan program. Sebagai contoh, jika Cikgu A tiada, maka kekosongan yang ada saya akan gunakan untuk menjalankan satu taklimat akademik bersama dengan pelajar. Program yang besar juga melibatkan kos yang banyak, penyediaan yang panjang dan remeh temeh serta memakan masa. Penumpuan ke atas pelajar juga berkurang kerana mereka ramai. Respon yang diterima juga biasanya akan berkurangan. Bukanlah saya tidak bersetuju tetapi, perlu dikurangkan dan penumpuan ke atas kualiti berbanding dengan kuantiti. Program yang kecil menjimatkan kos, masa lebih efektif, lebih dekat dengan pelajar/klien dan lebih mudah mendapatkan kerjasama daripada mereka berbanding program besar.




Selain itu, saya juga boleh menjalankan sesi kaunseling apabila melibatkan waktu matapelajaran Sivik & Moral serta subek Pendidikan Seni. Jadi, secara tidak langsung, program yang saya jalankan juga adalah melibatkan jawatankuasa dan panitia yang lain. Sebagai contoh, menjalankan program Melukis Poster Anti Dadah pada masa Pendidikan Seni dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Pendidikan Seni. Contoh yang lain adalah, Program Anti-Vandalisme dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Sivik dan Moral. Selain menjimatkan masa, ia juga menjimatkan kos. Secara tidak langsung, program bagi 2 unit yang berlainan dapat dijalankan serentak pada masa yang sama.




Perlu diketahui bahawa pelaksanaan Sesi Kaunseling Individu di sekolah adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya 2 sesi kaunseling individu perlu dijalankan setiap hari. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa. Oleh itu, sebagai langkah memudahkan kerja Guru Bimbingan & Kaunseling yang sedia banyak, maka, Sesi Kaunseling Indivudu dan Kelompok boleh diterapkan ke dalam Program Kaunseling Berfokus yang menjadikan 2 tugas saya berjalan serentak pada masa yang sama. Yang pentingnya adalah, laporan, analisis sesi yang telah dijalankan. Saya ambil contoh di sini, saya menjalankan sesi kaunseling individu yang melibatkan kes disiplin. Maka, kesimpulannya, saya telah menjalankan sesi kaunseling individu untuk hari tersebut. Kemudian, data-data pelajar yang berkaitan dengan profail dirinya, maklumat salah laku pelajar, rekod disiplin akan saya ambil dan merekodnya sebagai data awal bagi menjalankan Program Kaunseling Berfokus. Program Kaunseling Berfokus agak mirip dan menyerupai analisis headcount akademik pelajar. Dan Program ini juga bersifat kajian di sekolah sebenarnya. Melalui, data yang dimiliki, pihak sekolah, khususnya saya sendiri sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling akan mula menjalankan rawatan (Sesi Kaunseling) yang seterusnya untuk meningkatkan prestasi disiplin pelajar tadi. Pelbagai kaedah akan digunakan dan direkod di dalam fail Program Kaunseling Berfokus kategori Disiplin sebagai langkah ke arah penambahbaikan prestasi disiplin pelajar itu tadi. Sebagai contoh ; Program High-Risk, Program Tazkiyah An-Nafs, Sesi Kaunseling Individu & Kelompok. Sebarang perubahan atau tingkah laku pelajar yang melibatkan sahsiah pelajar direkodkan. Di akhirnya, dapatan yang diperolehi akan dikumpulkan dan dianalisis. Jika secara keseluruhannya, prestasi disiplin pelajar menurun, maka Program Kaunseling Berfokus dikatakan berjaya menurunkan kadar masalah disiplin tersebut. Jika meningkat, kajian dan perbincangan yang melibatkan pentadbir sekolah akan dijalankan lagi.




Begitu juga dengan Program Kaunseling Berfokus Kategori Akademik. Data-data akademik pelajar akan direkodkan setelah para pelajar dikelompokkan mengikut kategori Cemerlang, Sederhana dan Potensi. Daripada kelompok tersebut, baik saya sendiri sebagai kaunselor mahupun guru-guru lain akan menjalankan program yang berbentuk penumpuan ke arah para pelajar tersebut. Sebagai contoh, kelas tambahan, Seminar Teknik Menjawab, Program Motivasi dan sebagainya. Semua aktiviti, program dan sesi kaunseling akan direkodkan sebagai kaedah pelaksanaan peningkatan prestasi akademik pelajar. Prestasi pelajar akan diukur melalui pencapaian akademik pada setiap kali peperiksaan sehinggalah kepada peperiksaan sebenar seperti PMR dan SPM. Sekian dulu. Wallahua'lam.

Wednesday, March 17, 2010


Bismillah...Alhamdulillah...


Bulan ini merupakan bulan yang agak lapang bagi saya berbanding bulan yang lain. Sebaik sahaja sekolah dibuka semula kerana cuti sekolah penggal pertama, semua yang bergelar guru termasuklah saya akan sibuk. Dua kali cuti panjang sudah untuk penggal ini...Bia cuti banyak, kerja juga akan berganda. Walaupun, persekolahan bulan ini bermula dengan peperiksaan selaras Mac, namun, kerja-kerja seorang kaunselor memang tidak pernah habis. Ada sahaja yang perlu disiapkan. Biasanya, fokus saya pada masa ini adalah untuk mengemaskini fail-fail pengurusan, laporan penutup program sekolah yang telah dijalankan, laporan kewangan program dan membuat analisis sesi kaunseling yang telah dijalankan. Sebak sahaja, suara merdu Majlis Guru Kaunseling Daerah berbunyi, mungkin, sempatlah saya hantar laporan L4 kepada mereka. He..he... :)

Oleh sebab itulah, saya mengambil kesempatan cuti ini untuk membina semula blog saya yang telah terkandas di perjalanan dan menyesuaikan semula blog baru saya ini dengan tugas saya sebagai seorang Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah. Mudah-mudahan, pengisian blog ini akan memberikan manfaat kepada semua orang terutamanya pelajar sekolah, guru-guru dan bekas pelajar yang mengenal diri saya.

Nak cerita tentang tugas Guru Bimbingan & Kaunseling ni memang panjang ceritanya. Namun begitu, mungkin satu masa nanti, saya akan mengambil slot yang lain untuk menulis semula tugas-tugas Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM), mudah-mudahan akan menjadi panduan kepada orang lain di luar sana untuk memahami tugas ini. Tugas yang sama sekali tidak mudah, penuh cabaran dan akan disukai pada yang memahaminya. Bukanlah saya ingin memandai-mandai menulisnya, tetapi cuma ingin berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai tugas-tugas terkini yang mungkin tidak diketahui oleh siswazah Bimbingan & Kaunseling, bakal graduan dan sebagainya. Sebagai contoh, Program Kaunseling Berfokus, Laporan E-Kaunseling dan sebagainya.

Baiklah, apa pun, saya ingin mengundur diri dulu kerana ada kerja lain yang perlu saya buat di luar sana. Semoga kita akan berjumpa lagi di lain masa. Sebarang kritikan membina amatlah saya alu-alukan kepada semua pelawat dan juga yang mengenali diri ini.

Tuesday, March 16, 2010

Awal Permulaan



Bismillah...
Salamualaikum....

Salam pembuka bicara, Salam ukhwah fillah. Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia dari NYA dapat kita bertemu lagi walau tanpa bersua muka. Bagi yang telah lama mengenali diri ini, salam rindu buat kalian semua. Semoga Allah meletakkan kita di dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNYA.

Maaf kerana sudah lama tidak menulis dan mencoret sebarang kata-kata di blog lama saya di http://alkauthar.blogspot.com/. Pada masa kini, saya terpaksa mengukir semula blog yang saya cintai kerana blog lama saya tidak dapat berfungsi sebagaimana yan sepatutnya. Memang jauh di sudut hati ini, terdapat sedikit rasa kecewa kerana blog tersebut tidak berfungsi seperti yang diinginkan. Namun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin terdapat beberapa perkara yang saya sendiri tidak ambil berat sebelum ini seperti virus dan sebagainya. Blog tersebut yang telah lama saya bina bersama rakan blog saya, En. Ahmad Nizam Awang (Hkmatun) http://hikmatun.wordpress.com/. Beliau banyak membantu saya dalam mengenali, membina dan mengukir blog.

Nampak gayanya, saya kena bermula semula. Semoga apa yang berlaku terdapat banyak hikmah dan kebaikan untuk semua pihak. Bermula dengan blog baru ini, jika ada masa, saya akan senantiasa update maklumat dan pengisian. Itu pun bergantung kepada keluangan masa yang saya ada. Maklumlah, kerjaya sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling tidak semudah yang disangka untuk mereka. Pengorbanan masa dan komitmen yag perlu diberikan tidak memungkin saya untuk menulis blog seperti blogger yang lain. Apa pun, pengalaman mematangkan fikiran....Wallahu a'lam.