Bukan mudah untuk menjadi seorang kaunselor. Kaunselor haruslah memiliki sifat-sifat seperti hormat dan terima tanpa syarat (respect & unconditional positive regards), kasih sayang (love), empati (kebolehan merasai apa yang dirasai oleh klien) dan genuin (jujur dan ikhlas) membantu klien dalam perhubungan yang teraputik.
Kaunselor sudah tentunya seorang guru kerana dialah model untuk diikuti dan dicontohi oleh klien dengan sifat peribadi mulianya. Kaunselor boleh jadi mungkin seorang mudarris, muallim, muaddib, murabbi dan mursyid.

Kaunselor juga akan bergerak bersama dengan kliennya dalam proses perkembangan yang dilalui yang mana ianya akan memberikan pengalaman kepada klien. Jika kaunselor berkesan, maka akan mendatangkan hasil atau outcome yang baik juga. Wallahua'lam.

Pages

NUKILAN HATI

Semoga ilmu yang dikongsi bermanfaat. Sesungguhnya, apa yang kurang itu adalah berpunca daripada kelemahanku sebagai manusia. Yang hebat itu datangnya dari Allah.

TAWAN HATI DAN SENTUH JIWA PELAJAR

TAWAN HATI DAN SENTUH JIWA PELAJAR

MENCARI SESUATU???

Friday, March 26, 2010

KURSUS DALAMAN PENGAWAS SEKOLAH




Latihan Ucapan Pengerusi Majlis sedang dilatih oleh Cik Shida, Cik Syida, Cik Al dan En. Rizduan.


Latihan Bacaan ikrar sedang dilatih oleh Cik Haryati dan Cik Suzilawati.


Cik Haryati dan Cik Suzi sedang memadukan suara pelajar ketika membacakan ikrar dan ucapan.

Thursday, March 25, 2010

KESENGSARAAN & KEINSAFAN... : Tiada Air


BISMILLAH..
Syukur Alhamdulillah kerana Mu Ya Allah masih memberikan peluang dan ruang untuk kami menghembuskan nafas dan menghirup udara milikmu. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi ujian yang berat ini....Bantulah kami warga SMK JP SHAS untuk menghadapi dugaan mu yang amat payah dan getir ini...permudahlanlah urusan kami di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan, ujian Mu ini akan memberikan keinsafan dan kekuatan kepada kami untuk kami mendekatkan diri kepada Mu Ya Alah. Amiin..

Amiin Ya Rabbal Alamin...

Sudah berapa kali pada tahun ini SMK JP SHAS mengalami masalah air yang amat kronik. Bukan sahaja para pelajar yang tinggal di asrama merasai kegetiran tersebut, bahkan guru-guru dan seluruh warga sekolah amat merasainya. Di sekolah, kantin sekolah, dewan makan asrama, surau-surau dan rumah guru, semuanya tiada titisan air yang mengalir. Para pelajar yang tinggal di asrama terpaksa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, sesi Pengejaran dan pembelajaran juga terganggu. Guru-guru juga terpaksa menumpang di rumah-rumah kenalan dan penduduk sekitar Kuala Tahan. Semua warga yang terlibat, terasa bahangnya. Allah...

Namun, para guru dan warga sekolah yang lain amat cekal menghadapi ujian ini. Aspek kerjasama dan gotong-royong dapat dilihat antara guru-guru yang tinggal di sini. Para guru lelakinya dan juga staf sokongan sedang berkerjasama dan bertungkus lumus untuk memperbaiki keadaan ini. Mereka sanggup naik ke tangki air dan sering meninjau permasalahan yang dihadapi hampir setiap hari. Mengalahkan orang-orang JBA pula. Oleh sebab itu, mereka digelar orang JBA di sekolah ini. Hu...hu...gelaran untuk para guru yang serba boleh. Walau apapun cabaran, inilah guru...pengorbanannya untuk menyinari anak bangsa tiada berbelah bahagi. Bila pelajar susah, guru juga akan susah. Bila pelajar sengsara, guru turut merasai kesengsaraan ini. Para guru pula, walaupun jauh beribu batu bertandang ke mari, sanggup pula bersusah payah menghadapi dugaan di sini. Mungkin, terdapat banyak hikmah yang tersembunyi. Ujian ini, secara tidak langsung dapat mengingatkan kita bahawa di luar sana, ramai lagi insan-insan lain yang menderita dengan pelbagai ujian dan meghnah dari NYA. Ada yang tidak memperoleh sumber air, sumber makanan dan tempat tinggal. Kami ini, baru sahaja diuji dengan ketiadaan air. Bahkan semasa tidak timbul masalah ini, kami mungkin jauh lebih beruntung dari mereka yang menderita di luar sana walaupun kami hanya mempeoleh sumber dari air sungai sahaja. Oleh itu, saya ingin mengajak diri saya sendiri dan semua yang di luar sana agar senantiasa bersyukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan oleh-NYA.
Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Memberi segala nikmat.

Oleh itu Ya Allah, kami semuanya ingin memohon kepadaMu agar kami tidak dibebankan dengan apa yang tidak sanggup kami pikul seperti orang-orang yang telah Engkau uji seperti orang-orang sebelum kami. Amiin.


Monday, March 22, 2010

HARI PENDAFTARAN SEKOLAH 2010


Sesi Pendaftaran Pelajar Asrama SMK Jubli Perak SHAS pada tahun ini, tahun 2010.

Guru-guru yang tetap memberikan senyuman ceria walaupun terpaksa bertungkus lumus apabila ketibaan tahun baru bagi sesi persekolahan.

Saturday, March 20, 2010

PROGRAM KAUNSELING BERFOKUS


SALAMUALAIKUM....

Tiga bulan telah pun berlalu pada tahun ini, tahun 2010. Tahun yang penuh dengan cabaran buat saya sendiri. Azam saya pada tahun ini adalah untuk meningkatkan pelaksanaan sesi kaunseling, berbanding perlaksanaan program. Mudah-mudahan, dengan banyaknya sesi kaunseling akan membantu saya lebih memahami para pelajar saya, dekat dengan mereka, mengenal pasti masalah mereka dan dapat mentarbiah mereka bersama-sama dengan saya. Semoga Allah membantu saya dalam menjalankan tugas dan menyebarkan dakwah untuk anak bangsa yang saya kasihi. Amiin...


Oleh sebab itu, pada tahun ini, saya mengkhususkan tugas saya kepada pelaksanaan Program Kaunseling Berfokus yang melibatkan beberapa program penting dan juga sesi kaunseling. Jika dilihat kepada laporan pada tahun ini, saya agak kurang menjalankan program-program yang besar. Hal ini demikian kerana, program yang saya jalankan adalah melibatkan kerjasama dengan unit-unit yang lain dan melaksanakan program dalam kelompok yang lebih kecil seperti sejumlah pelajar atau sekelas sahaja. Oleh itu, masa yang diambil tidaklah menggugat Pengajaran dan Pembelajaran yang sedang berlangsung di dalam kelas. Ketiadaan guru tertentu memberikan saya peluang untuk mengadakan program. Sebagai contoh, jika Cikgu A tiada, maka kekosongan yang ada saya akan gunakan untuk menjalankan satu taklimat akademik bersama dengan pelajar. Program yang besar juga melibatkan kos yang banyak, penyediaan yang panjang dan remeh temeh serta memakan masa. Penumpuan ke atas pelajar juga berkurang kerana mereka ramai. Respon yang diterima juga biasanya akan berkurangan. Bukanlah saya tidak bersetuju tetapi, perlu dikurangkan dan penumpuan ke atas kualiti berbanding dengan kuantiti. Program yang kecil menjimatkan kos, masa lebih efektif, lebih dekat dengan pelajar/klien dan lebih mudah mendapatkan kerjasama daripada mereka berbanding program besar.




Selain itu, saya juga boleh menjalankan sesi kaunseling apabila melibatkan waktu matapelajaran Sivik & Moral serta subek Pendidikan Seni. Jadi, secara tidak langsung, program yang saya jalankan juga adalah melibatkan jawatankuasa dan panitia yang lain. Sebagai contoh, menjalankan program Melukis Poster Anti Dadah pada masa Pendidikan Seni dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Pendidikan Seni. Contoh yang lain adalah, Program Anti-Vandalisme dengan kerjasama Guru Panitia Mata Pelajaran Sivik dan Moral. Selain menjimatkan masa, ia juga menjimatkan kos. Secara tidak langsung, program bagi 2 unit yang berlainan dapat dijalankan serentak pada masa yang sama.




Perlu diketahui bahawa pelaksanaan Sesi Kaunseling Individu di sekolah adalah sangat penting. Sekurang-kurangnya 2 sesi kaunseling individu perlu dijalankan setiap hari. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keperluan dan keadaan semasa. Oleh itu, sebagai langkah memudahkan kerja Guru Bimbingan & Kaunseling yang sedia banyak, maka, Sesi Kaunseling Indivudu dan Kelompok boleh diterapkan ke dalam Program Kaunseling Berfokus yang menjadikan 2 tugas saya berjalan serentak pada masa yang sama. Yang pentingnya adalah, laporan, analisis sesi yang telah dijalankan. Saya ambil contoh di sini, saya menjalankan sesi kaunseling individu yang melibatkan kes disiplin. Maka, kesimpulannya, saya telah menjalankan sesi kaunseling individu untuk hari tersebut. Kemudian, data-data pelajar yang berkaitan dengan profail dirinya, maklumat salah laku pelajar, rekod disiplin akan saya ambil dan merekodnya sebagai data awal bagi menjalankan Program Kaunseling Berfokus. Program Kaunseling Berfokus agak mirip dan menyerupai analisis headcount akademik pelajar. Dan Program ini juga bersifat kajian di sekolah sebenarnya. Melalui, data yang dimiliki, pihak sekolah, khususnya saya sendiri sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling akan mula menjalankan rawatan (Sesi Kaunseling) yang seterusnya untuk meningkatkan prestasi disiplin pelajar tadi. Pelbagai kaedah akan digunakan dan direkod di dalam fail Program Kaunseling Berfokus kategori Disiplin sebagai langkah ke arah penambahbaikan prestasi disiplin pelajar itu tadi. Sebagai contoh ; Program High-Risk, Program Tazkiyah An-Nafs, Sesi Kaunseling Individu & Kelompok. Sebarang perubahan atau tingkah laku pelajar yang melibatkan sahsiah pelajar direkodkan. Di akhirnya, dapatan yang diperolehi akan dikumpulkan dan dianalisis. Jika secara keseluruhannya, prestasi disiplin pelajar menurun, maka Program Kaunseling Berfokus dikatakan berjaya menurunkan kadar masalah disiplin tersebut. Jika meningkat, kajian dan perbincangan yang melibatkan pentadbir sekolah akan dijalankan lagi.




Begitu juga dengan Program Kaunseling Berfokus Kategori Akademik. Data-data akademik pelajar akan direkodkan setelah para pelajar dikelompokkan mengikut kategori Cemerlang, Sederhana dan Potensi. Daripada kelompok tersebut, baik saya sendiri sebagai kaunselor mahupun guru-guru lain akan menjalankan program yang berbentuk penumpuan ke arah para pelajar tersebut. Sebagai contoh, kelas tambahan, Seminar Teknik Menjawab, Program Motivasi dan sebagainya. Semua aktiviti, program dan sesi kaunseling akan direkodkan sebagai kaedah pelaksanaan peningkatan prestasi akademik pelajar. Prestasi pelajar akan diukur melalui pencapaian akademik pada setiap kali peperiksaan sehinggalah kepada peperiksaan sebenar seperti PMR dan SPM. Sekian dulu. Wallahua'lam.

Thursday, March 18, 2010


Bismillah...Alhamdulillah...


Bulan ini merupakan bulan yang agak lapang bagi saya berbanding bulan yang lain. Sebaik sahaja sekolah dibuka semula kerana cuti sekolah penggal pertama, semua yang bergelar guru termasuklah saya akan sibuk. Dua kali cuti panjang sudah untuk penggal ini...Bia cuti banyak, kerja juga akan berganda. Walaupun, persekolahan bulan ini bermula dengan peperiksaan selaras Mac, namun, kerja-kerja seorang kaunselor memang tidak pernah habis. Ada sahaja yang perlu disiapkan. Biasanya, fokus saya pada masa ini adalah untuk mengemaskini fail-fail pengurusan, laporan penutup program sekolah yang telah dijalankan, laporan kewangan program dan membuat analisis sesi kaunseling yang telah dijalankan. Sebak sahaja, suara merdu Majlis Guru Kaunseling Daerah berbunyi, mungkin, sempatlah saya hantar laporan L4 kepada mereka. He..he... :)

Oleh sebab itulah, saya mengambil kesempatan cuti ini untuk membina semula blog saya yang telah terkandas di perjalanan dan menyesuaikan semula blog baru saya ini dengan tugas saya sebagai seorang Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa di sekolah. Mudah-mudahan, pengisian blog ini akan memberikan manfaat kepada semua orang terutamanya pelajar sekolah, guru-guru dan bekas pelajar yang mengenal diri saya.

Nak cerita tentang tugas Guru Bimbingan & Kaunseling ni memang panjang ceritanya. Namun begitu, mungkin satu masa nanti, saya akan mengambil slot yang lain untuk menulis semula tugas-tugas Guru Bimbingan & Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM), mudah-mudahan akan menjadi panduan kepada orang lain di luar sana untuk memahami tugas ini. Tugas yang sama sekali tidak mudah, penuh cabaran dan akan disukai pada yang memahaminya. Bukanlah saya ingin memandai-mandai menulisnya, tetapi cuma ingin berkongsi maklumat dan pengetahuan mengenai tugas-tugas terkini yang mungkin tidak diketahui oleh siswazah Bimbingan & Kaunseling, bakal graduan dan sebagainya. Sebagai contoh, Program Kaunseling Berfokus, Laporan E-Kaunseling dan sebagainya.

Baiklah, apa pun, saya ingin mengundur diri dulu kerana ada kerja lain yang perlu saya buat di luar sana. Semoga kita akan berjumpa lagi di lain masa. Sebarang kritikan membina amatlah saya alu-alukan kepada semua pelawat dan juga yang mengenali diri ini.

Wednesday, March 17, 2010

Awal Permulaan



Bismillah...
Salamualaikum....

Salam pembuka bicara, Salam ukhwah fillah. Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah kurnia dari NYA dapat kita bertemu lagi walau tanpa bersua muka. Bagi yang telah lama mengenali diri ini, salam rindu buat kalian semua. Semoga Allah meletakkan kita di dalam limpahan rahmat dan kasih sayangNYA.

Maaf kerana sudah lama tidak menulis dan mencoret sebarang kata-kata di blog lama saya di http://alkauthar.blogspot.com/. Pada masa kini, saya terpaksa mengukir semula blog yang saya cintai kerana blog lama saya tidak dapat berfungsi sebagaimana yan sepatutnya. Memang jauh di sudut hati ini, terdapat sedikit rasa kecewa kerana blog tersebut tidak berfungsi seperti yang diinginkan. Namun, saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Mungkin terdapat beberapa perkara yang saya sendiri tidak ambil berat sebelum ini seperti virus dan sebagainya. Blog tersebut yang telah lama saya bina bersama rakan blog saya, En. Ahmad Nizam Awang (Hkmatun) http://hikmatun.wordpress.com/. Beliau banyak membantu saya dalam mengenali, membina dan mengukir blog.

Nampak gayanya, saya kena bermula semula. Semoga apa yang berlaku terdapat banyak hikmah dan kebaikan untuk semua pihak. Bermula dengan blog baru ini, jika ada masa, saya akan senantiasa update maklumat dan pengisian. Itu pun bergantung kepada keluangan masa yang saya ada. Maklumlah, kerjaya sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling tidak semudah yang disangka untuk mereka. Pengorbanan masa dan komitmen yag perlu diberikan tidak memungkin saya untuk menulis blog seperti blogger yang lain. Apa pun, pengalaman mematangkan fikiran....Wallahu a'lam.